Friday, June 11, 2010

Maradona guna tiga penyerang berbisa???

2010/06/11
PRETORIA: Pengendali Argentina, Diego Maradona dijangka sudah memutuskan untuk menggunakan khidmat gandingan serangan – Carlos Tevez, Lionel Messi dan Gonzalo Higuain dalam kesebelasan utamanya pada perlawanan sulung Piala Dunia bertemu Nigeria, esok.

Kebanyakan wartawan membuat andaian melalui dua sesi perlawanan latihan kelmarin di mana pegawai rasmi pasukan mengatakan Higuain dan Javier Mascherano melengkapkan kemenangan 2-0 menentang pasukan simpanan Argentina dan pada perlawanan lain, pasukan simpanan menumbangkan skuad remaja kebangsaan 1-0, menerusi jaringan Sergio Aguero. Argentina diletak sebagai pilihan menjuarai kumpulan B yang turut dihuni Greece dan Korea Selatan dan Maradona dilihat bakal menurunkan skuad yang dibarisi; Sergio Romero (penjaga gol) yang juga bakal dikawal ketat pertahanan Gabriel Heinze, Martin Demichelis dan Walter Samuel manakala bahagian tengah, Jonas Gutierrez, Angel Di Maria, Mascherano dan Juan Sebastian Veron yang disusuli serangan tiga serangkai. Heinze berkata keputusan itu bakal menyatukan skuad Argentina dan menamatkan sebarang keraguan serta perbalahan yang berlaku ketika sesi kelayakan apabila Maradona menggunakan 107 pemain dalam usaha mencari 11 pemain terbaiknya.

“Kami semua berada dalam keadaan terbaik tanpa sebarang masalah dan bersemangat untuk beraksi di padang,” kata Heinze. “Kami sudah melalui sesi latihan pada tahap yang terbaik dan kami akan dapat menyaksikannya pada Sabtu ini,” katanya bagi menyuraikan sebarang keraguan ketika menentang skuad pantas, Nigeria.

“Nigeria akan meletakkan banyak tekanan kepada kami dan mereka cukup agresif dengan pemain yang memiliki tempo yang pantas. Kami mengenali ramai daripada mereka yang beraksi di beberapa kelab Eropah.”

Penyandang dua kejuaraan Piala Dunia ini membelasah Canada 5-0 dalam aksi pemanas badan terakhir dan berangkat ke Afrika Selatan pada 24 Mei dari Buenos Aires.
Jika Argentina berjaya membawa pulang Piala Dunia ketiga tahun ini, Maradona berjanji untuk melakukan larian bogel mengelilingi Obelisk yang masyhur di pusat bandar Buenos Aires. – AP

No comments:

Post a Comment